Wednesday 14 December 2016

KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN

Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan.Namun, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Lebih parah, generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian.
Hal ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.
Penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Malah, bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh turut meningkat tahun demi tahun.
Kekurangan tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing dibawa masuk. Di antara tahun 2001-2003 sahaja, seramai 19,343 buruh asing tambahan telah diambil bekerja dalam sektor pertanian (termasuk sektor peladangan). Lebih parah, petani asal yang tinggal adalah terdiri daripada petani yang sudah tua dan uzur. Berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian pada tahun 2002/2003, 39% daripada petani yang ditemubual berumur lebih dari 55 tahun.
Selain daripada faktor penghijrahan ini, antara masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian kini ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik. Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi.
Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah yang bersaiz kurang dari satu hektar. Sub-sektor pengeluaran makanan pertanian juga terpaksa bersaing dengan sektor perladangan untuk mendapatkan tanah yang baik. Umpamanya, sektor perladangan sahaja menguasai 83% daripada 6.36 juta hektar tanah yang bertanam.Di samping saiz tanah yang kecil dan tidak ekonomik, terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi daya pengeluaran yang rendah dan kos purata yang tinggi di sub-sektor pekebun kecil. Pertama ialah kekurangan tenaga buruh yang berpelajaran, produktif dan cekap.
Kekurangan ini akan menyebabkan perancangan yang baik dan pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Juga, petani yang kurang pendidikan akan menghadapi masalah kekurangan modal kerana mereka sukar memperolehi kredit daripada institusi kewangan. Untuk mendapatkan kredit, mereka terpaksa memenuhi syarat dan keperluan yang kompleks yang ditetapkan oleh institusi berkenaan.
Kekurangan modal pula merupakan penghalang untuk mereka menyerap teknologi moden, terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua dengan baka benih atau klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan hasilnya. Sebabnya untuk menanam semula, petani terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan hasil. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan semasa lagi. Dengan itu, walaupun teknologi moden berpotensi memberikan manfaat yang besar, mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya.
Disebabkan kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden, kebanyakan petani tidak mengguna baka benih atau klon yang berdaya pengeluaran tinggi yang terkini, tidak menggunakan baja dan bahan kimia secara optimum dan betul, tidak melaksanakan pembaik pulih tanah dan mengamalkan adat dan budaya tradisi yang tidak mendorong ke arah memperoleh daya pengeluaran yang tinggi.
Selain daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di sektor-sektor kecil tertentu. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95% benih yang diperlukan adalah diimport dari Thailand, Taiwan, China, Australia dan lain-lain lagi. Benih buah-buahan seperti benih hybrid tembikai yang berhasil tinggi pula perlu djimport dari luar negeri seperti Taiwan. Harga benih hybrid ini agak tinggi dan mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran. Negara juga perlu mengimport 25% benih ikan untuk menampung keperluan semasa.
Dari segi pelaburan swasta dalam sektor makanan, ianya lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan atau sektor perladangan. Ini kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain.Selain daripada itu, sektor pengeluaran makanan juga memerlukan usaha lebih intensif berbanding dengan sektor-sektor lain. Sebagai usaha untuk memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan ladang sedia ada kepada ladang berskala komersil, Kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak syarikat swasta yang besar untuk menceburi sektor pengeluaran makanan.Liberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian dijangka akan berlaku apabila sekatan bukan tarif di negara-negara ahli yang mempunyai kos pengeluaran lebih tinggi dihapuskan.Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion.Kenaikan permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada 1996, kenaikan harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks Harga Pengguna. Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6 kepada RM3.6 sedolar) telah meningkatkan kos import makanan dan input pertanian.Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997.Krisis kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya peningkatan dalam aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara lain. Juteru, di sinilah sektor pertanian memainkan peranan pentingnya

No comments:

Post a Comment