Wednesday 14 December 2016

SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN

Pihak kerajaan telah memberikan pelbagai sokongan dan bantuan kepada peniaga yang berniaga produk dan barangan yang berasaskan pertanian. Pihak kerajaan menyedari golongan pengusaha ini amat memerlukan sokongan dan bantuan bagi memudahkan perniagaan mereka. Bantuan dari segi pinjaman kewangan, kursus dan bengkel serta khidmat nasihat sering diberikan oleh organisasi awam seperti MARA, MARDI, FELDA dan FELCRA. Hal ini dapat membantu mereka meningkatkan lagi mutu kerja dan kualitinya di samping menambahkan lagi kuantiti pengeluarannya.
Promosi juga telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membuka mata masyarakat tentang perniagaan yang berasakan pertanian. Perkara ini sedikit sebanyak telah membuka mata golongan muda tentang kebaikan dan kelebihan perniagaan berasaskan pertanian ini. Banyak program telah dijalankan bagi mempromosikan bidang ini dan beberapa festival telah diadakan. Promosi juga dilakukan dalam media massa dan media cetak bagi membolehkan maklumat sampai kepada semua orang. Iklan-iklan di kaca televisyen juga banyak membantu memberi pemahaman kepada orang ramai dan menarik minat mereka untuk menceburi bidang ini.
Insentif dan kemudahan turut disediakan bagi mendorong orang ramai  terutama  golongan muda untuk menyertai bidang ini. Kerajaan telah memperuntukakan sejumlah wang dalam bidang pertanian untuk menggalakkan golongan muda menceburinya. Kerajaan Malaysia telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanian. Perkara ini merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah-buahan dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.
Pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memupuk dan mengembangkan asas keusahawanan dan melahirkan usahawan dalam kalangan bumiputera di negara ini. Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan disediakan bagi membantu usahawan Bumiputera. Salah satu kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pembangunan Usahawan yang dapat membantu melahirkan usahawan Bumiputera yang amat berkualiti, berpotensi tinggi dalam bidang perniagaan dan berupaya untuk berdaya saing di peringkat dalam negara mahupun luar negara. Mereka ini akan menjadi ikon masyarakat dan dijadikan contoh untuk para petani dan pengusaha mengembangkan dan menambahkan hasil pengeluaran, produk dan barangan mereka.



No comments:

Post a Comment